Thursday 29 November 2012

Cerpen : ADIK

Adik memandang ke arah jam tangannya. Sudah tepat menunjukkan pukul 12.30 hari. Keringat semakin memenuhi ruang dahi. Mata adik berkeliaran melilau ke sana sini. Muka adik kian menampakkan kegelisahan. Sekejap dia duduk. Sekejap dia berdiri.
“Aduh! Mana train ni? Dari tadi aku tunggu tak sampai-sampai.” Keluh adik sendirian.
Adik memasang telinga dengan penuh berhati-hati. Pengumuman mengatakan terdapat gangguan elektrik sehingga menyebabkan perjalanan tidak dapat diteruskan membuatkan adik semakin tertekan. Orang pula semakin ramai dan sesak. Puas berdiri adik kembali melabuhkan punggungnya ke kerusi. Adik melihat orang yang lalu lalang di hadapannya. Macam-macam ragam yang dipersembahkan. Ada yang sedang ketawa. Ada yang sedang bercakap. Masalah yang dialami dan suasana yang sesak dengan orang ramai membuatkan adik semakin rimas. Sudah hampir dua jam dia menapak di Kuala Lumpur Sentral itu. Adik sekali lagi melihat jam tangannya. Lalu satu keluhan berat dihempas keluar. Adik hanya menundukkan wajahnya melihat bumi.
“Assalamualaikum. Boleh saya tumpang bertanya?”
“Wa’alaikumussalam. Ya?” Jawab adik. Matanya terbuntang luas.
“Betul ke ni platform nak ke UKM?”
“Ya betul.” Adik tiba-tiba saja gagap dalam menyusun bualnya.
“Oh! Terima kasih.”
“Sama-sama.” Jawab adik perlahan seolah-olah dia hanya berbisik sendiri.
Adik hanya melihat gadis berkulit putih gebu, berbaju kurung dan berhijab itu melangkah membelakangkannya.
“Fuh! Cantik! Bergetar jantung aku tengok.” Bisik adik sambil senyum sendirian.
Sekian lama menunggu akhirnya train telah sampai. Berpusu-pusu penumpang berebut untuk mendapatkan tempat di dalam  train. Adik juga tidak terlepas merebut peluang. Adik merasa sangat lega apabila dia sudah duduk di dalam train  dengan selesa sedangkan penumpang yang lain masih lagi berpusu-pusu berebut sesama sendiri untuk masuk ke dalam. Ada penumpang yang terpaksa menunggu train yang seterusnya.
Awan hitam bergerak perlahan diterbangkan angin. Adik masih lagi berdiri di tepi tingkap. Matanya tidak berkelip melihat ke luar. Adik merelakan saja angin menampar pipinya. Pokok-pokok pula galak menari di goncang angin kencang. Akhirnya hujan jatuh jua membasahi bumi. Tempias mula melonjak masuk ke tingkap. Perlahan-lahan adik menutup tingkap. Dia mengheyakkan badannya ke katil bujang. Kesunyian mula menghampiri hatinya.
“Ibu…Adik rindu ibu.” Bisik adik.
Air mata adik mengalir tanpa dijemput. Rindu pada ibunya mengundang kesedihan di dalam hati adik.
***
Ibu sedang sibuk mengemas rumah. Adik pula bermain sendirian di luar. Sebuah kereta Proton Waja berwarna putih masuk menapak tepat di hadapan halaman rumah tempat adik bermain. Adik melihat ke arah kereta lalu berlari mendapatkan ibu.
“Ibu... Ibu...” Suara adik begitu nyaring sehingga jantung ibunya berlari tidak keruan.
Ibu memandang ke arah adik yang berlari mendapatkannya.
“Kenapa sayang? Terjerit-jerit ni, terkejut ibu.”
“Abah...  Abah dah balik ibu.” Adik tersenyum riang. Bukan senang adik boleh berjumpa dengan abahnya. Kadang-kadang tiga bulan sekali baru nampak batang hidung. Adik begitu gembira sekali. Tetapi adik perasan riak wajah ibu berubah. Seolah-olah tidak suka apabila adik menyebut abah.
“Kenapa ibu?” Tanya adik sambil memegang tangan ibunya.
Ibu hanya tersenyum lalu mengorak langkah menuju ke arah pintu utama.
“ Lia! Lia!” Jerit abah. Jeritannya bagaikan guruh. Adik perlahan-lahan menyusuri langkah ibu. Adik berhenti menapak. Adik sedikit terselindung di sebalik sofa. Adik nampak ibu menangis. Ibu menangis tengok abah. Ibu perlahan-lahan melangkah mendapatkan abah lalu abah dan ibu berpelukkan. Ibu terlalu rindukan abah. Tetapi adik nampak abah kurang selesa dengan pelukan ibu. Abah meleraikan pelukan ibu.
“Abang? Ke mana abang pergi? Sudah dua bulan abang tak balik?” Abah yang masih tercegat di muka pintu hanya memandang ke arah ibu.
“Siapa dia abang?”
Adik nampak ada seorang perempuan tiba-tiba muncul di antara abah dan ibu. Ibu hanya berdiri kaku.
“Dia isteri aku!” Abah dan perempuan itu masuk meluru naik ke tingkat atas. Ibu tidak pernah melawan apa yang abah buat. Abah dan perempuan itu melintasi di hadapan adik. Adik pandang ke arah abah. Tetapi abah hanya melihat tanpa menyapa adik. Adik berlari mendapatkan ibu di pintu utama.
“Ibu...Ibu!” Adik lihat air mata ibu. Ibu menutup pintu perlahan-lahan sambil menangis. Ibu memeluk adik.
“Ibu? Abah bawa balik siapa tu?” Ibu memandang ke dalam mata adik.
“Itu kawan abah.”
Adik baru berumur enam tahun. Adik belum faham apa yang adik nampak.
***
Adik terkejut apabila pintu bilik diketuk beberapa kali. “ Dhan...! Assalamualaikum... Dhan?”
Adik bingkas bangun lalu menuju ke arah pintu.
 “Wa’alaikumussalam... Ha.. Man? Engkau ni kalau ya pun janganlah menjerit terkejut aku.” Aiman hanya tersenyum. “ Sorry la Dhan... Aku nak cepat ni. Awek aku dah tunggu tu.”
“Kau nak pergi mana ni Man?” Aiman sempat memandang sambil mengenyitkan matanya. “Dating lah Dhan!” Adik hanya menggelingkan kepalanya sambil tersenyum. Adik melabuhkan semula badannya ke katil sambil meletakkan kedua-dua lengannya di atas dahi. Adik memejamkan mata. Hatinya kembali sepi. Dia tiada tempat untuk di tuju dan mengadu. Namun tiba-tiba wajah perempuan berhijab muncul di lamunannya. Bibirnya tiba-tiba terukir senyuman.
***
“Ibu!Ibu!” Adik meraung dan menangis sekuat hati. “Abah... Jangan pukul ibu... Jangan pukul ibu... Adik merayu jangan pukul ibu.”
Badan adik yang kecil itu di tolak ke lantai. Rambut ibu ditarik. Tangan abah hinggap ke pipi ibu beberapa kali. Ibu menangis kesakitan.
“Abang... Tolong lepaskan Lia... Sakit bang... Tolong jangan pukul Lia”. Abah tidak mahu melepaskan ibu. Adik nampak kepala ibu dihentak ke lantai. Kemudian abah tarik rambut ibu. Abah pukul ibu bertubi-tubi. Mata ibu bengkak. Pipi ibu lebam kebiruan. Bibir ibu ada darah. Adik takut. Adik bangun lagi. Adik cuba menahan abah dari terus membelasah ibu. Tetapi abah pukul adik. Abah tolak adik sehingga kepala adik terhantuk ke lantai. Adik mendongak ke atas.
“Mak Cik... Tolong ibu... Tolong selamatkan ibu adik”. Adik di tolak lagi. Perampas itu tak mahu tolong ibu. Dia hanya membalas rayuan adik dengan satu senyuman sinis. Adik takkan pernah melupakan senyuman itu. Abah terus membelasah ibu. Tidak ada lagi sifat kemanusiaan dalam diri abah. Ibu semakin longlai. Abah membuka tali pinggangnya dan terus memukul ibu sepuas hati. Ibu tidak lagi mampu melawan. Kudratnya sudah hilang. Akhirnya ibu jatuh pengsan. Abah dan perempuan tak tahu malu itu berlalu pergi meninggalkan adik dan ibu sendirian.
“Ibu... Ibu...” Adik menangis teresak-esak sambil memangku kepala ibu. Badan ibu digoncang perlahan. Tangan kecil adik mengusap rambut ibu. Ibu tidak sedarkan diri. Adik berlari menuju ke dapur. Adik membawa semangkuk air dan sehelai kain bersamanya. Adik mengusap muka ibu dengan kain basah perlahan-lahan. Ibu akhirnya sedar dari pengsan.
“Adik... Mana abah?” Adik mencium dahi ibu.
“Ibu.... Ibu dah sedar. Adik takut ibu.” Ibu cuba bangkitkan tubuhnya perlahan-lahan.
“Mana abah sayang?” Adik menggelingkan kepalanya. “ Adik tak tahu ibu. Abah dah pergi dengan perempuan tu.”
Ibu melihat muka adik. “Ibu? Kenapa ibu menangis? Abah dah pergi. Adik janji abah takkan berani pukul ibu lagi. Adik akan jaga ibu.” Ibu memeluk adik.
Adik meleraikan pelukan ibu. “ Ibu? Kenapa abah pukul ibu? Kenapa abah tak pernah sayangkan ibu dan adik?” Pertanyaan adik yang bertubi-tubi membuatkan ibu rasa bersalah.
“ Tak sayang. Jangan cakap macam tu. Ibu sayang adik.” Adik memandang ke dalam mata ibu. Adik tahu ibu sedang memendam sesuatu. Walaupun ibu tak cakap tetapi adik tahu.
“Adik benci abah! Adik benci abah!” Adik meninggikan suaranya tiba-tiba.
“Adik...” Ibu teruk memeluk adik.
***
“Ibu!” Adik terjaga dari tidurnya. “ Subhanallah ”. Adik melihat jam di atas meja. Sudah magrib. Adik terus bangun membersihkan dirinya dan menunaikan solat magrib. Adik masih membatukan diri di atas sejadah. Tanpa dia sedari air matanya mengalir. “Adik rindukan ibu.”  Bisik adik. Adik menekup mukanya dan menangis teresak-esak. Tangisan adik memecah kesunyian malam yang masih panjang.
***
Adik telah selesai menjawab ujian. Adik meninggalkan bilik kuliah kemudian berjalan menuju ke ruang dining. Adik duduk sendirian. “Mana Aiman ni. Kata pukul 12 tengah hari. Tak nampak pun lagi. Em.. Janji melayu.” Rengus adik sendirian. Tiba-tiba Aiman muncul dengan senyumannya mekar hingga ke telinga. “Dhan! Sorry aku pergi office tadi.” Adik membalas senyuman Aiman. “Kau ni memanjang pergi office.” Aiman ketawa besar. Geli hati dengan kata-kata adik. Adik mengerutkan dahi. Dia berasa pelik dengan gelagak Aiman. “Gila agaknya Aiman ni. Aku salah cakap ke? Ketawa pulak dia.” Adik berbisik sendiri. “Eh Dhan? Jom beli makan.” Adik hanya akur dengan kata-kata Aiman.
Adik gemar bersendirian. Petang itu adik merancang ke Semenyih untuk mendaki Bukit Broga. Bukan pertama kali dia ke sana. Adik kerap ke sana seorang diri untuk mencari ketenangan. Adik sudah mempersiapkan diri. Mendaki bukit memang hobi adik. Sudah lebih sepuluh kali adik menawan Bukit Broga. Pengunjung yang hadir tidak seramai hari minggu. Hanya terdapat beberapa orang.  Adik melangkah dan terus mendaki sehingga ke puncak Broga. Sampai ke puncak adik menarik nafas lega. Adik menapak di atas sebuah batu. Dia duduk termenung melihat keindahan alam. Matanya teruja melihat keindahan ciptaan Allah.
Angin tidak berhenti mencium lembut pipi adik. Adik merelakan saja sambil memejamkan matanya. Dia merasa amat tenang sekali.
“Ibu...Ibu...” Jerit adik sambil menangis.
 Abah menarik kasar lengan ibu. Ibu mengaduh kesakitan.
 “Abah... Jangan pukul ibu... Jangan pukul ibu lagi abah.” Abah menolak tubuh kecil adik. Adik tidak mampu melawan. Abah mencengkam pipi adik.
 “Hey! Jangan panggil aku abah! Faham?” Adik menangis.
Tubuh kecilnya sekali lagi di tolak kuat.  Abah mengheret ibu memanjat anak tangga menuju ke bilik. Abah mengurung ibu di dalam bilik. Adik hanya berdiri kaku. Adik nampak abah sedang bercakap dengan seorang lelaki yang adik tak kenali. Lelaki itu menghulurkan duit kepada abah. Abah memandang ke arah adik. Adik takut. Pandangan mata abah menikam sehingga adik menjatuhkan pandangannya ke lantai. Lelaki tidak dikenali itu melintasi adik menuju ke bilik atas. Adik hanya memerhatikan lelaki itu. Adik nampak lelaki itu masuk ke dalam bilik ibu dikurung. Adik dengar. Adik dengar. Adik dengar suara ibu. Adik dengar suara ibu menjerit.
“Jangan sentuh aku! Jangan sentuh aku! Tolong... Tolong lepaskan aku”
Adik berlari menuju ke atas tanpa memperdulikan abah. Adik mengetuk pintu sekuat hati. Adik buntu. “Ibu!ibu!” Adik menangis teresak-esak. Adik melihat ibu di sebalik lubang dinding.
Di dalam bilik lelaki itu cuba memperkosa ibu. Ibu meronta. Baju ibu disentap kuat sehingga terkoyak menampakkan tubuh ibu. Kain ibu disinsingkan ke atas. Mulut ibu ditutup kemas. Tubuh ibu di hempas kuat ke atas katil. Lelaki itu menghempaskan tubuhnya ke atas ibu. Tubuh ibu diratah mentah-mentah. Adik menggelingkan kepalanya. “Ibu!Ibu! Lepaskan ibu adik!”
Adik berlari mendapatkan abah yang sedang duduk di atas kerusi di laman rumah. Adik mengoncangkan batang tubuh abah. Abah hanya memandang ke arah adik sambil menghembuskan asap rokoknya ke muka adik. “Abah... Tolong ibu... Tolong ibu... Lelaki tu pukul ibu.” Rayu adik bersungguh-sungguh. Air matanya mencurah-curah tidak henti.  Jeritan ibu tidak lagi sanggup telinga adik mendengarnya. Abah hanya membalas dengan senyuman sinis. Adik mengambil sebatang kayu di laman rumah lalu memukul ke arah abah. Namun kudrat kecilnya tidal mampu melawan. Abah sempat mengelak. Pipi adik berasa panas. Berbekas tapak tangan abah di pipinya. Abah memijak adik. Dia tendang adik. Tiada siapa pun yang tolong adik. “Aaaaahhhhhh! Abah...! Sakit!” Abah mencucuk puntung rokoknya ke pipi adik. “Jangan berani macam-macam! Aku bunuh kau nanti! Anak haram! Jangan berani kau panggil aku abah! Aku bukan bapak kau!”  Adik lihat dada abah merengus kencang bagai ribut taufan. Adik mungusap-ngusap pipinya.

***
“Assalamualaikum.” Adik lantas membuka matanya dan menoleh ke kanan. “Wa’alaikumussalam.” Jawab adik perlahan. “Awak menangis?” Tanya perempuan berhijab itu. Adik mengelap air matanya. Dia tidak sedar air jernih itu membasahi pipinya.  
“Em.. Kita pernah jumpa kan sebelum ni?” Adik menganggukkan kepalanya. Mana mungkin dia melupakan wajah gadis yang telah pun memikat hatinya. Adik terkejut  dapat berjumpa dengan perempuan pujaan hatinya. Itu pun di puncak Broga. “Ya.” Jawab adik yang mula menampakkan rasa gugup tiba-tiba di dalam bicaranya.
 “Maaf. Saya dah ganggu awak. Saya Ramadhania. Panggil je Nia. Awak?”
“Saya Dhan. Aidil Ramadhan.” Adik tersenyum. “Eh... Nama kita nak samalah. Awak Ramadhan. Saya Ramadhania. Wow! Kebetulan sangatkan.” Adik hanya tersenyum.
“Em awak seorang ke?” Adik menganggukkan kepalanya. “Awak?”. Tanya Adik sambil tersenyum. “Ya. Seorang. Walaupun bahaya tapi ni hobi saya.” Nia ketawa. “Boleh saya join awak?” Adik hanya menganggukkan kepalanya sambil tersenyum. “Maaf. Boleh saya nak tanya something?” Adik sekali lagi menganggukkan kepalanya. “Kenapa awak menangis? Susah saya nak tengok lelaki menangis.” Adik hanya melepaskan keluhan tanpa menjawab soalan Nia. Dia hanya memandang ke arah langit dan memejam rapat matanya.
***
Adik perlahan-lahan membuka pintu bilik. Adik berlari ke arah ibu yang sedang longlai. “Ibu... Bangun ibu... Ibu...” Teriak adik sekuat hatinya. Adik menutupi tubuh ibunya. Ibu memandang ke dalam mata adik. Adik sebak. Adik tidak sanggup melihat penderitaan ibu. Seluruh tubuh ibu lebam. “Adik? Anak ibu... Ibu sayangkan adik...” Adik terus memeluk ibu. “Ibu.. Adik pun sayangkan ibu...” Tangan ibu terkulai layu. Jantung ibu sudah berhenti berdegup. Adik menggoncangkan tubuh ibu. “Ibu!Ibu! Bangun bu...! Bangun! Jangan tinggalkan adik.. Adik takut... Ibu... !!! Nyawa ibu bukan lagi milik jasad yang terbujur itu. Adik hanya teriak sekuat hati sambil memeluk jasad ibu.
Selepas lima belas tahun adik masih tidak boleh melupakan peristiwa itu walaupun titik hitam dalam hidupnya semakin jauh. Adik sudah dewasa.
***

Kali pertama adik menjejak kakinya di penjara Kajang. Adik mahu berjumpa dengan abah. Seorang lelaki yang kian uzur diiringi dua orang pegawai penjara berjalan menuju ke arah adik. Lelaki itu duduk menghadap adik. “Abah...” Seru adik. “Siapa kau.” Jawab abah. Adik merapatkan dirinya. “Ni adik bah.” Adik bersungguh-sungguh. Matanya mula berair. “Adik?” Abah bangun lalu memeluk adik. “Maafkan abah... Maafkan abah.” Abah menangis. Adik turut serta menangis. Tidak pernah dia merasa pelukan seorang ayah. “Adik tak marahkan abah?” Adik menggelengkan kepalanya.Tidak pernah dia menyimpan rasa dendam di dalam hatinya. Adik masih ingat pesanan ibu. Kata ibu tak baik kalau kita menyimpan rasa dendam sesama manusia. Biarlah orang menganiaya kita. Janganlah kita sesekali menganianyai orang lain. Setiap kesalahan orang pula boleh ditebus dengan memberi mereka peluang yang kedua. Adik tahu abah bukan abah kandung adik. Adik tahu adik cuma anak luar nikah. Adik faham kenapa ibu mahu buang adik. Ibu diperkosa. Adiklah buktinya. Tetapi ibu memberi peluang untuk adik hidup. Ibu mengizinkan adik memanggilnya ibu. Adik rindukan ibu.
Abah meleraikan pelukannya. Abah menatap muka adik dengan penuh rasa berdosa. Parut di muka adik mengingatkan abah tentang dirinya yang tidak berkeperimanusiaan. Abah mengusap muka adik. Abah menangis. Sekali lagi kata maaf tersembur dari mulut abah.
***
Hari sudah semakin menghampiri senja. “Awak menangis?” Nia tersentap lalu mengelap air jernih di pipinya. “Maaf. Em awak mesti sangat rindukan ibu awak kan?” Adik hanya menganggukkan kepalanya. “Jom kita balik. Dah nak malam ni.” Mereka menuruni Bukit Broga bersama-sama dan berpisah di kaki bukit. “Hati-hati drive.” Nia tersenyum. “Awak hati-hati tunggang motor.” Adik membalas dengan senyuman.
“Dhan? Ke mana kau semalam? Puas aku cari kau?” Adik hanya tersenyum. “Aku? Ke tempat biasalah.” Balas adik. “Ai kau ni Dhan. Kalau ya pun ajaklah aku sekali. Pergi sorang-sorang.” Adik menahan sahaja telinganya dengan bebelan Aiman.
***
Adik telah menamatkan pengajiannya. Selepas majlis konvokesyen. Adik tidak menapak lama di dewan itu. Adik sendirian. Abahnya dipenjara seumur hidup. Tiada siapa yang menyaksikan kejayaannya. Adik bergegas menuju mendapatkan ibu. Adik membawa kejayaannya bersama menemui ibu. Selepas berdoa, adik mengusap pusara ibu.
Hari ini adik sudah berjaya mencapai cita-citanya menjadi seorang peguam. Memang cita-cita adik sejak kecil ingin menjadi seorang peguam. Semasa masih kecil adik pernah berjanji dengan ibu. Adik nak jadi seorang peguam. Adik nak hukum orang jahat. Air mata adik menitis. Adik membiarkan saja.
***
“Nia?” Nia bergegas ke ruang tamu sambil mendukung anak kecil. “Ya bang...” Sahut Nia lembut. “Sayang? Malam ni kawan abang, Aiman dan isterinya nak datang makan malam di rumah kita. Nia masak sedap-sedap ya?” Nia akur. “Baiklah bang.”
“Assalamualaikum”. Adik bangun membuka pintu setelah diketuk beberapa kali. “Wa’alaikumussalam. Man... Jemput masuk.” Aiman dan isterinya melangkah masuk. Tangan kedua-dua mempelai itu masih berinai merah. “Man? Jemput duduk.” Aiman tersenyum sambil matanya melilau. “Eh mana anak kau? Tak sabar aku nak jumpa.” Adik hanya tersenyum. “Anak aku ada dengan isteri aku. Kau pun cepat-cepatlah. Jangan tunggu lama-lama.” Aiman ketawa. Isterinya pula kelihatan malu-malu kucing mendengar usikan adik. Mereka kemudian menikmati makan malam bersama.
***
Adik tidak lagi merasa sunyi. Kehadiran Nia dan cahaya mata sulungnya Dhia Raisa menjadi pelengkap hidupnya. Dalam keindahan dan kebahagian yang dikecapinya, adik masih merindui ibu. “Terima Kasih ibu.”


~TAMAT~
Zara Saae
Puncak Perdana

No comments:

Post a Comment